Wednesday, 22 June 2011

'IPOK' dalam Masyarakat Melanau (sambungan)

Menurut H.Tuah Merawin (1999) pula,

Orang Melanau tradisional percaya pada kewujudan satu korpus kuasa ghaib yang menentukan kesejahteraan segala makhluk di muka bumi. Kuasa ini dikenali dengan nama generik 'Ipok'.


'Ipok' bagi masyarakat Melanau mempunyai bidang kuasa mutlak ke atas benda-benda dan akan menguasai kesejahteraan semangat benda-benda tersebut. Malahan nama Ipok seringkali diseru oleh golongan tua apabila melakukan pekerjaan berat atau menjamah makanan di dalam hutan. contoh seruan yang biasa digunakan ialah 'bah ipok tuloung nou melou' ( Ipok - tolonglah kami) atau 'keman Ipok, pamen sama-sama' ( makan Ipok, mari makan bersama)

Ipok mempunyai bidang kuasa masing-masing misalnya Ipok yang menguasai tiga zon dunia iaitu Ipok Langit (Dewa Langit), Ipok Tanak (Dewa Bumi) dan Ipok Iyaeng (Dewa Air). Ketiga-tiga Ipok ini mempunyai hieraki kuasa yang lebih tinggi berbanding Ipok-Ipok lain seperti Ipok Daat (Dewa lautan), Ipok Kala (Dewa Muara), Ipok Guun - Ipok Alan (Dewa Hutan Belantara), Ipok Uma (Dewa Huma), Ipok Lebok (Dewa Rumah), Ipok Bekaan (Dewa Perkakas), Ipok Nasek (Dewa Nasi) dan sebagainya.

Kekuasaan dan kekuatan Ipok menurut H.Tuah Merawin (1999):

Di antara Ipok yang wujud dalam kosmos , Ipok Langit dianggap sebagai Ipok yang paling agung bukan sahaja kekuasaannya dan keluasannya dan kedudukan domainnya yang teratas tetapi ia merupakan satu perubahan penuh misteri kepada manusia. Ipok Langit boleh menyebabkan bencana alam yang amat destruktif seperti ribut taufan dan banjir. Ia juga boleh menjadikan sesuatu makhluk seperti manusia menjadi batu (petrification) melalui bencana 'buan' atau 'baliew' apabila ia murka atau terkilan disebabkan pelanggaran sesuatu pantang larang atau lantaran perbuatan manusia yang bertentqangan dengan lahiriah.


Walau bagaimanapun Ipok berlebih bersifat pengampun dan pengasih serta pemurah. Hanya apabila domainnya dicerobohi atau pantang larang dilanggari baharulah ia naik murka dan menyebabkan padah kepada manusia.

No comments:

Post a Comment

Pages